Friday, June 10, 2005

mengalum 8-9

Kerapu bara Lubuk Mengalum
oleh SHAIDAH shafie


KOTA KINABALU: Ketika itu negara dilanda demam pilihan raya. Namun Datuk Dr Yusof Yaacob, beliau mengenepikan resah dengan cara tersendiri iaitu keluar memancing di lokasi terpilih.

Seawal jam 6 pagi, beliau sudah bersedia di jeti Sutera Harbour di sini, untuk mengemudikan botnya bersama beberapa rakan iaitu Latif, Lahad dan Nordin.

Kira-kira dua jam kemudian bot berkenaan tiba di perairan yang dipanggil Lubuk Mengalum.

Kebetulan, waktu itu musim angin barat. Sesekali, bot mereka dilambung ombak besar. Walaupun biasa dan bukan musim tengkujuh, ciri-ciri keselamatan tidak diketepikan.

Untuk tidak membuang masa dan memudahkan cara, selepas menurunkan sauh, masing-masing menggunakan koyan dan menurunkan umpan kalau-kalau ada mangsa yang boleh dibawa naik.

Dr Yusof menggunakan mata kail Mustard saiz 2 dan ternyata penangan itu berupaya mengalahkan kerapu bara dan kerisi bali yang tidak henti-henti membuat serangan berani mati. Mungkin kerana umpan sotong yang enak atau kebetulan rezeki menyebelahi rombongan Dr Yusof, mereka turut menaikkan spesies sama yang begitu rakus mencuri umpan. Adakalanya kerapu memunculkan diri di hujung koyan.

Selain kerapu, ikan merah (Luthjanus bohar), landuk dan kerisi bali (Pirstipomoides multidens) yang beratnya melebihi 2 kilogram turut dinaikkan. Malah, kemunculan seekor kerapu bara (Cephalopholis miniatus) seberat 8 kilogram agak mengejutkan kami.

“Memang tiada niat untuk memburu kerapu kerana musim ini adalah musim kerisi menyerbu umpan," kata Dr Yusof.

Latif juga tidak ketinggalan menaikkan kerisi bali bersaiz agak besar tetapi tetap dikira berbaloi dengan koyan yang digunakan.

Tidak sampai satu hari, tong ikan berwarna merah sederhana besar yang dibawa sudah separuh terisi. Mereka mengambil keputusan berehat seketika kerana letih melayan kerisi bali.

Sehingga hari petang, mereka memancing dalam keadaan santai kerana tong ikan sudah hampir penuh dan masing-masing kepenatan melayan mangsa. Ternyata umpan sotong yang disediakan Latif bagi besi berani kepada kerisi bali kerana spesies itu paling kerap dinaikkan.

“Seronok juga memancing koyan kerana tidak perlu memegang joran tetapi jika tidak biasa, mungkin tangan boleh luka akibat tali yang boleh menjerut isi tapak tangan,” kata Dr Yusof.

Ketika hari menjelang petang, beliau mengambil keputusan balik ke jeti bersama tangkapan yang cukup memuaskan hati walaupun hanya berumpankan sotong kecil.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home